GANDINGAN Jhy Dar dan Roy King benam pasangan Perancis.
Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my


PERSEORANGAN lelaki remaja negara, Shaqeem Eiman Shahyar berjaya ke suku akhir Kejohanan Remaja Dunia selepas menumpaskan wakil Taiwan, Su Li Yang dalam aksi pusingan kelima hari ini.

Bagaimanapun, Shaqeem terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 13-21, 21-16, 21-14.

Menantinya di suku akhir esok ialah pilihan ke-13 dari Indonesia, Yonathan Ramlie yang sebelum itu melakukan kejutan menumpaskan pemain yang disebut-sebut mampu ke final, Liu Liang (China) 14-21, 21-19, 22-20.

Sebelum itu, pilihan keenam beregu campuran, Yap Roy King-Gan Jing Err berjaya menempah slot ke suku akhir selepas mengalahkan Kenji Lovang-Juliette Moinard dari Perancis 17-21, 21-14, 21-17.

Sandaran utama negara itu akan bertemu pilihan ketiga dari Thailand, Ratchapol Makkasasithorn-Benyapa Aimsaard bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok. Sekiranya Roy King-Jing Err berjaya melakar kemenangan dalam pertemuan esok, kilauan pingat gangsa sudah pasti menjadi milik mereka sekali gus memastikan skuad remaja negara tidak pulang tangan kosong dalam saingan kali ini.

Nasib berbeza buat satu lagi pasangan beregu campuran, Haikal Nazri-Low Yee Yuan apabila mereka kalah kepada pilihan keempat dari China, Jiang Zhen Bang-Li Yi Jing 20-22, 19-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:05 PM