Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


PASUKAN Vietnam jelas cukup sukar ditundukkan apabila Harimau Malaya terpaksa akur tewas 0-1 dalam saingan ketiga kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebentar tadi.

Skuad negara dilihat seolah hilang taring apabila gagal merencanakan serangan berbahaya ke kubu lawan selain melakukan kesilapan mudah hingga membenarkan tuan rumah terus melancarkan serangan sebelum berjaya menggegar gawang negara.

Malah ketiadaan tiga tonggak iaitu Nor Azam Azih, J Partiban dan Shahrel Fikri turut menyaksikan bahagian tengah skuad negara hilang fungsi untuk membantu jentera serangan menghasilkan gol.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe hampir berada di depan seawal minit 10 namun keadaan kelam kabut di depan pintu gol tuan rumah gagal dimanfaatkan sebaliknya Shahrul Saad dikenakan kad kuning kerana menggunakan tangan untuk menjaringkan gol.

Peluang skuad negara tidak terhenti disitu apabila lontaran pertahanan kiri negara Corbin Ong pada minit 24 gagal disambar Syafiq Ahmad dan Mohamadou Sumareh sekali gus memberi kelegaan kepada hampir 38,000 penyokong tuan rumah.

Melihat pelawat melakukan serangan bertali arus, skuad Naga Emas menukar taktikal dengan melakukan hantaran jauh dan hampir memecahkan kebuntuan menerusi Nquyen Quang Hai namun dinafikan penjaga garisan sekali gus menyelamatkan pintu gol Malaysia daripada dibolosi.

Namun, kelekaaan skuad Harimau Malaya yang gagal menyekat kemaraan Quang Hai akhirnya dihukum lima minit sebelum separuh masa pertama tamat apabila pemain lincah itu bijak menyudahkan hantaran Que Ngoc Hai sekali gus berjaya menewaskan Farizal Marlias.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad negara cuba bermain lebih agresif dengan merencanakan serangan ke kubu lawan bagi mencari gol penyamaan.

Cheng Hoe turut memasukkan Akhyar Rashid bagi mengantikan Norshahrul Idlan Talaha pada minit 56 bagi memantapkan lagi jentera serangan.

Namun kemasukan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak banyak membantu bahagian serangan apabila kubu pertahanan tuan rumah berjaya menyekat kemaraan Harimau Malaya.

Skuad kendalian Park Hang Seo hampir menambah derita Harimau Malaya menerusi rembatan pemain gantiannya Nguyen Anh Duc pada minit 71 namun berjaya dihalang pertahanan negara dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:02 PM
AKSI Corbin Ong cuba menyekat kemaraan pemain Vietnam, Do Hung dung di Hanoi. - FOTO AFP