PENJAGA gol Senegal, Alfred Gomis menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Richarlison. - FOTO Reuters
Agensi

DUA penyerang Liverpool, Roberto Firmino dan Sadio Mane menjadi tumpuan ketika Brazil dan Senegal seri 1-1 dalam aksi persahabatan di Singapura, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan bertembung kali pertama di peringkat antarabangsa yang menyaksikan Neymar tampil kali ke-100 buat Brazil.

Brazil terlebih dahulu di hadapan menerusi Firmino pada minit ke-9 selepas dia yang mendapat hantaran Gabriel Jesus dalam kotak penalti melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Senegal, Alfred Gomis.

Neymar yang bergandingan dengan Philippe Coutinho kerap mengancam kubu Senegal namun kedua-duanya gagal menembusi gawang lawan.

Senegal berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti Famara Diedhiou sejurus sebelum tamat separuh masa pertama selepas Marquinhos mengasari Sadio Mane.

Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan pada babak kedua dengan Senegal terlepas peluang terbaik menewaskan juara dunia lima kali.

Pasukan ranking pertama Afrika itu berjaya menandingi kekuatan Brazil yang dibarisi kesebelasan terbaik mereka dengan percubaan Mane terkena tiang lima minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan seri itu diraih selepas tiga bulan Tite membawa Brazil menjuarai Copa America di tempat sendiri dan seri 2-2 dengan Colombia bulan lalu dan tewas 0-1 kepada Peru.

Perlawanan persahabatan Brazil selepas ini ialah menentang Nigeria juga di Singapura pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 10:44 PM