SKUAD B-18 negara berdepan dua aksi persahabatan di UAE minggu hadapan.
Oleh Firdaus Hashim
sukan@hmetro.com.my


KUNJUNGAN ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadapi dua siri ujian pemanas badan akan digunakan sebaiknya skuad bawah 18 (B-18) tahun negara terutama dalam menerapkan falsafah dan taktikal yang mahu digunakan pada Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Kemboja dari 2-10 November ini.

Menurut pengendali pasukan, Brad Maloney, dua aksi persahabatan menentang skuad UAE B-18 pada Selasa dan Khamis depan akan dimanfaatkan untuk menilai kefahaman pemain dalam menterjemahkan taktikal yang diterapkan pada sesi latihan sebelum ini.

Katanya, ia sebahagian daripada perancangan pasukan bagi mengelirukan tiga pesaing yang pernah ditemui pada Kejuaraan AFF di Vietnam Ogos lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara di belakang Australia.

Untuk rekod, pada saingan di Kemboja itu nanti, skuad muda negara diundi dalam Kumpulan G di samping tuan rumah, Kemboja, Brunei dan Thailand dari rantau Asia Tenggara manakala Kepulauan Mariana Utara melengkapkan saingan di kumpulan itu.

"Kita sedang berusaha mengukuhkan kekuatan pasukan dengan melihat dan menilai kemampuan setiap pemain dengan cara atau gaya falsafah kita nanti.

"Ia penting kerana kita mahu pemain boleh beraksi dengan cara yang kita mahu pada kelayakan AFC itu nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro dari Dubai, UAE, hari ini.

Ujarnya lagi, suasana latihan pasukan sejak tiba di negara teluk itu pada Ahad lalu berjalan lancar dengan barisan pemain cukup bersemangat untuk memikat hatinya.

"Buat masa sekarang semuanya baik (sesi latihan berjalan baik). Pasukan ditempatkan di pusat latihan Persatuan Bolasepak UAE (UAE FA). Mereka memberikan kemudahan latihan cukup sempurna di mana ia amat penting untuk pemain segera mendapatkan keserasian antara mereka selain dapat fokus sepenuhnya dalam latihan," katanya.

Skuad negara diletakkan harapan tinggi untuk layak ke pusingan akhir AFC di Uzbekistan tahun depan dengan sasaran wajib muncul juara kumpulan kelayakan atau sekurang-kurangnya menamatkan kedudukan selaku empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan kelayakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 9:27 PM