RAZLAN mahu Hafizh fokus perlumbaan musim depan. - FOTO Bernama
Meor Riduwan Meor Ahmad
sukan@hmetro.com.my


KETUA Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali menasihati pelumba, Hafizh Syahrin supaya mengubah gaya hidup serta fokus kepada perlumbaan untuk musim depan dengan misi kembali ke MotoGP.

Menurutnya, pihaknya memang membantu pelumba terbabit dari segi penajaan untuk berada dalam pasukan Angel Nieto untuk musim depan.

"Sebenarnya SIC yang menaja beliau untuk tempat dalam pasukan Motor2. Mereka (Angel Nieto) minta bayaran yang mahal, namun selepas kami berunding, mereka setuju mengurangkan kos sehingga tahap kita mampu biaya.

"Namun, penajaan hanya untuk memastikan tempat dia dalam perlumbaan Motor2 saja dan tidak termasuk gaji, tiket penerbangan, hotel dan kos latihan pengangkutan," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Razlan berkata demikian mengulas laporan akhbar ini kelmarin, mengenai nasib Hafizh Syahrin yang bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa gaji selepas kembali ke Motor2 dari MotorGP.

Menurutnya, beliau yakin dengan pengesahan penajaan daripada topi keledar dan sut perlumbaan diterima dapat menampung perbelanjaan bulanan Hafizh Syahrin.

"Memang dia tidak mendapat gaji daripada pasukan selain penajaan juga berkurang apabila turun daripada perlumbaan MotoGP ke Motor2.

"Ini kerana 'nilainya' juga turun mendadak dan dapat lebih setengah daripada apa diperoleh dalam MotorGP. Ini mungkin situasi paling rendah dalam kariernya, tapi dia kena fokus kepada perlumbaan musim depan dan ubah sikit gaya hidup," katanya sambil memaklumkan SIC akan membantu mencari penaja baru bagi musim depan.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan akan memberi maklumbalas isu Hafizh Syahrin selepas pembentangan Belanjawan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:17 PM