ALEXANDER-Arnold dan Marcus Rashford berlatih bersama rakan sepasukan di St George's Park, Burton. - FOTO Reuters
AFP

TRENT Alexander-Arnold berkata, England perlu memperbaiki bahagian pertahanan jika berhasrat menjuarai Euro 2020.

Skuad Gareth Southgate boleh memastikan tempat ke pusingan akhir tahun hadapan jika menewaskan Republik Czeh di Prague dalam aksi kelayakan Kumpulan A, awal pagi Sabtu ini.

The Three Lions muncul pasukan pilihan untuk mara selepas permulaan sempurna kempen kelayakan termasuk menewaskan lawan mereka selepas ini 5-0 di Wembley pada Mac lalu.

England memiliki banyak pilihan di bahagian serangan termasuk Harry Kane, Raheem Sterling dan Jadon Sancho tetapi bermasalah di bahagian pertahanan dalam beberapa perlawanan terakhir.

Kemenangan 5-3 ke atas Kosovo di Southampton bulan lalu menunjukkan sedikit peningkatan di bahagian benteng yang sebelum itu mudah dibolosi Belanda apabila tewas 1-3 pada aksi separuh akhir Liga Negara Negara, Jun lalu.

Kesilapan individu menyumbang kebanyakan jaringan lawan dalam dua perlawanan itu menyebabkan Southgate memikirkan percaturan terbaik di bahagian pertahanan.

"Jika kami mahu dinobatkan salah satu pasukan terbaik di Eropah dan pergi lebih jauh di Euro dan menang trofi, kami mesti mengurangkan jaringan gol lawan,” kata pertahanan Liverpool, Alexander-Arnold.

"Sebagai pemain pertahanan, pasukan dan unit kami tahu aspek mana perlu diperbaiki. Dalam beberapa perlawanan, ia berlaku. Kami akan menganalisanya dan memastikan ia tidak berulang.”

Pemenang Liga Juara Juara, Alexander-Arnold akan bersaing dengan Kieran Trippier untuk mendapatkan tempat dalam skuad Southgate.

James Maddison yang berusia 22 tahun pula menarik diri daripada skuad England untuk dua aksi kelayakan Euro 2020 susulan masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 7:45 PM