Pique gagal untuk membeli Notts County. FOTO AFP
Agensi

HAJAT pemain bek tengah Barcelona Gerard Pique untuk membeli kelab Notts County pada musim panas tidak kesampaian apabila gagal pada bidaan terakhir.

Pique menerusi kerjasama bersama Kumpulan Kosmos Global Holding mengadakan pertemuan dengan bekas pemilik Alan Hardy untuk membeli kelab itu pada Julai lalu dan berkata dia tertarik dengan prestij serta nilai kelab itu.

Pemain berusia 32 tahun itu mahu membangunkan sistem remaja untuk menjadi tempat perkembangan bakat tempatan tetapi tewas kepada bidaan adik-beradik dari Denmark, Alexander dan Christoffer Reedtz.

Mereka berjaya membeli kelab itu pada 26 Julai lalu yang memerlukan urusan pembelian cepat atas arahan Mahkamah Tinggi disebabkan bil cukai belum dibayar semakin naik.

Kosmos sudahpun membuat pelaburan tinggi dalam sukan selepas mengikat kontrak selama 25 tahun dengan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) tahun lalu untuk merombak Piala Davis.

Pelabur dalam syarikat itu termasuk kapten Barcelona dan rakan sepasukan Pique iaitu Lionel Messi serta bilionair Amerika Syarikat, Larry Ellison.

Pique yang berdepan kemungkinan penggantungan disebabkan tuduhan sengaja untuk menerima kad kuning minggu lalu, menyatakan minat lain selain bola sepak dengan melancarkan Kosmos bersama Hiroshi Mikitaini, pengasas penaja Barcelona, Rakuten.

Ia bukan kali pertama cubaan syarikat besar untuk membeli Notts County yang juga kelab bola sepak profesional tertua di dunia ditubuhkan pada 1862.

Pada 2009, konsortium Asia Barat Munto Finance mengambil alih dan melantik bekas pengurus England Sven-Goran Eriksson sebagai ketua jurulatih dan menandatangani bekas pemain pertahanan Arsenal Sol Campbell.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:15 PM