PIOLI tidak disenangi penyokong Milan. - Reuters
Agensi

STEFANO Pioli berkata, tindakan penyokong AC Milan yang membantah pelantikannya sebagai ketua jurulatih menjadikan dia lebih bersemangat memburu kejayaan bersama kelab itu.

Pengendali berusia 53 tahun itu diumumkan jurulatih baharu Rossoneri dengan kontrak dua tahun semalam sehari selepas sehari Marco Giampaolo dipecat.

Beberapa penyokong yang tidak senang dengan berita itu meluahkan kemarahan mereka menerusi hashtag "#PioliOut" dalam media sosial dan mengaitkan Pioli dengan pencabar setempat, Inter.

Pioli, pengurus Inter musim 2016-17 yang dikatakan peminat Nerazzurri sejak kecil lagi berkata, penyokong berhak melahirkan pandangan tetapi dia bersemangat untuk menunjukkan tindakan mereka adalah salah.

"Saya perlu hormati penyokong dan mereka ada hak untuk kritik tetapi ia menyuntik semangat saya,” katanya kepada wartawan.

"Saya tidak mempunyai media sosial dan saya kurang minat dengannya. Jika ada jumpa profail berkaitan saya, ia bukan milik saya. Saya lebih suka orang mengkritik depan mata.”

"Lupakan yang sudah berlalu. Saya lelaki profesional yang mahu melakukan yang terbaik. Anda boleh adili saya di atas padang bukan berdasarkan ketika saya masih kecil.”

Pioli mengambil alih Milan yang tewas empat aksi awal Serie A musim ini dan ketinggalan empat mata di belakang kelompok empat teratas dan misinya ialah menyuntik keberanian dalam diri pemain untuk berjuang meraih tempat dalam slot kelayakan Liga Juara Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:36 PM