Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


ATLET angkat berat wanita berbakat besar Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri mahu melupakan tragedi hitam digantung lapan bulan kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang tahun lalu.

Sebaliknya atlet berusia 19 tahun kelahiran Teluk Ketapang, Kuala Nerus itu tekad mahu membuktikan pemilihannya mewakili negara dalam pentas Sukan SEA di Manila, Filipina pada November depan adalah pelaburan berbaloi.

Malah atlet bertubuh kecil molek itu yang bakal beraksi dalam kategori 45 kilogram (kg) turut bertekad untuk menghadiahkan kilauan pingat buat kontinjen negara biarpun pernah dipalit dengan insiden penggantungan itu.

“Apa yang terjadi sebelum ini iaitu digantung selama lapan bulan diharap tidak akan berulang lagi selepas ini, lagipun saya sudah melupakan insiden malang itu.

“Sasaran utama saya pada pentas Sukan SEA nanti adalah untuk memecah rekod kebangsaan milik Fendylina Adim dari Sabah. Selain itu, mengintai peluang untuk membawa pulang pingat buat negara tanpa mengira warna.

“Apa diharapkan penyertaan kali pertama dalam pentas Sukan SEA nanti tidak mengecewakan saya dan kontinjen negara selain menjadi landasan terbaik untuk meningkatkan lagi prestasi di peringkat yang lebih tinggi,” ujar Nurul Afiqah.

Pada pentas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Perak, September tahun lalu, Nurul Afiqah beraksi dalam kategori 48 kg mengutip satu pingat emas acara clean and jerk dengan angkatan 81 kg dan satu gangsa dalam acara snatch dengan angkatan 62 kg.

Bagaimanapun pingat emas dan gangsa diraih tidak kekal lama apabila ditarik balik pihak penganjur kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis methylexanamine sebelum digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

“Memang saya begitu terkilan kerana pingat ditarik balik, lagipun saya tidak mempunyai niat untuk mengambil bahan terlarang itu.

“Ia menjadi pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati mengambil makanan tambahan,” kata Nurul Afiqah yang mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih, Mohd Azmer A Rahman sejak berumur 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:00 PM