Kien Keat mahu beregu negara bersaing untuk slot ke Olimpik. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


BEKAS pemain beregu lelaki negara, Koo Kien Keat mengakui persaingan antara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah sesuatu yang positif.

Menurutnya, persaingan sihat membabitkan dua gandingan itu sangat baik terutama dalam mempertingkatkan prestasi masing-masing.

“Jika tidak ada persaingan seperti ini kedua-duanya tidak dapat untuk mempertingkatkan prestasi mereka sendiri. Bagi saya biarlah mereka berlawan sesama sendiri, ia satu perkara yang bagus,” katanya.

Bagaimanapun, Kien Keat merasakan V Shem-Wee Kiong memiliki kelebihan terutama dari segi pengalaman seperti mana yang dipamerkan oleh pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

“Sekarang memang ada pemain muda namun Ahsan-Hendrawan masih lagi boleh bersaing. Corak sekarang ialah seseorang pemain itu harus memiliki segalanya.

“Pengalaman, kepantasan dan cara permainan yang unik adalah kelebihan buat seseorang pemain,” katanya yang bakal tampil dalam dalam Program Juara Tangkis: Tun Dr Siti Hasmah.

V Shem-Wee Kiong meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016 sekarang menduduki tangga ke-10 dunia, manakala Aaron-Wooi Yik mengisi kedudukan ke-14.

Ditanya mengenai jurang beregu negara dan Indonesia, Kien Keat mengakui bahawa kedudukan sekarang tidak zaman jika dibandingkan ketika beliau masih aktif sebagai pemain.

“Sekarang jurang sudah jauh, dulu tidak ada beza. Kita dan Indonesia lebih kurang sama, cuma China dan Korea Selatan berada di kelas tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 4:21 PM