COCO beraksi menentang Kateryna di Linz, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN remaja Amerika Syarikat, Coco Gauff layak ke suku akhir Jelajah WTA buat kali pertama awal pagi tadi, sekali gus memastikan tempatnya dalam kelompok 100 teratas ranking dunia.

Coco, ketika ini di tangga ke-110, mendahului 4-6, 6-4, 2-0 apabila pemain Ukraine, Kateryna Kozlova menarik diri pada pusingan kedua kejohanan di Linz, Austria kerana kecederaan kaki kiri.

Pada usia 15 tahun dan 214 hari, dia muncul pemain termuda layak ke suku akhir kejohanan WTA sejak Januari 2005 apabila Sesil Karatancheva mara ke suku akhir di Gold Coast, berusia 15 tahun dan 153 hari.

“Saya mengenalinya, wah,” kata Coco kepada wtatennis.com. “Ia satu pencapaian bagus dan harapnya saya boleh melangkah ke separuh akhir.

“Saya fikir saya seronok menjadi yang termuda melakukan banyak perkara dan saya berharap ia boleh berterusan dan menikmati detik remaja, kerana seperti setiap orang katakan kepada saya, ia tidak akan bertahan lama.”

Coco, yang memukau di Wimbledon apabila melepasi pusingan kelayakan sebelum mara ke pusingan 16 terakhir dan kemudian layak ke pusingan ketiga Terbuka AS, hanya meraih tempat dalam undian utama di Austria sebagai ‘lucky loser’ apabila pilihan keenam Maria Sakkari menarik diri.

Dia menggunakan kesempatan itu dengan mengalahkan Stefanie Voegele pada pusingan pertama kelmarin.

Coco menghuni tangga ke-685 di dunia pada awal tahun ini dan mengakui untuk berada dalam kelompok 100 teratas pada hujung musim satu daripada impian utamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 1:35 PM