CECH bangga menyarung jersi Guildford Phoenix. — FOTO Twitter Guildford Phoenix
AFP

BEKAS penjaga gol Chelsea dan Arsenal, Petr Cech menyatakan dia beralih ke sukan hoki ais selepas menandatangani kontrak dengan pasukan liga Britain sebagai ‘goaltender.’

Pemain dari Republik Czech berusia 37 tahun itu, yang bersara daripada bermain pada musim panas lalu berkata, dia menyemarakkan semula minatnya terhadap sukan itu yang pernah disertainya ketika remaja dengan mengikat kontrak bersama Guildford Phoenix.

“Saya bangga mendapat peluang untuk bermain dengan Phoenix bagi meraih pengalaman perlawanan,” kata Cech kepada laman web kelab itu.

“Saya harap boleh membantu pasukan muda ini memenuhi sasaran mereka musim ini dan cuba menang sebanyak mungkin perlawanan apabila saya berpeluang untuk beraksi.


PAPARAN dalam Twitter mengenai pembabitan Cech. — FOTO Twitter Guildford Phoenix

“Selepas 20 tahun sebagai pemain bola sepak profesional ini satu pengalaman menakjubkan buat saya membabitkan diri dalam permainan yang amat saya sukai dan saksikan ketika kecil.”

Guildford, yang ditubuhkan pada 2017 dan berpangkalan di selatan London, beraksi dalam divisyen empat liga hoki ais Britain.

Cech menang empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat Piala FA, tiga Piala Liga, Liga Juara-Juara dan Liga Europa sepanjang kariernya di Chelsea dengan satu lagi kejayaan Piala FA hadir bersama Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 11:13 AM