SYAFIQ Ahmad
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


HANOI: Pemain tengah Harimau Malaya Syafiq Ahmad melihat pasukan negara sekarang ini jauh berbeza dengan skuad terdahulu ketika dia mewakili negara menentang Vietnam sebelum ini. Pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang yang meledak lima gol daripada tiga perlawanan dan hatrik dalam perlawanan terakhir bersama skuad Harimau Malaya yakin mampu merobek gawang pasukan Naga Emas pada perlawanan hari ini. Syafiq berkata, skuad Harimau Malaya pada edisi kali ini tampil lebih menyakinkan dan boleh dianggap sebagai skuad baharu yang membawa misi besar untuk mengharumkan nama negara. “Suasana perlawanan pada kali ini cukup berbeza terutama barisan pemain kebangsaan yang lebih mantap serta mampu melakukan kejutan. “Memang kebanyakan adalah pemain baharu dan perkara itu bukan masalah kerana misi adalah mahu kemenangan,” katanya, dalam sidang media perlawanan Malaysia bertemu Vietnam pada aksi ketiga kumpulan G bagi saingan Pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023,” di sini, semalam. Sebagai rekod, skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan G selepas mengharungi dua perlawanan apabila menewaskan Indonesia 3-2 di Jakarta sebelum tewas tipis 2-1 di tangan Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi di laman sendiri. Vietnam yang baru mengharungi satu perlawanan berada di tangga keempat apabila mengutip satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan satu lagi pasukan Asia Tenggara, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:00 AM