WALES atasi cabaran Fiji untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Ragbi.
AFP

WALES mengatasi cabaran Fiji untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Ragbi hari ini, yang turut diiringi Australia, ketika Scotland membelasah Russia untuk bertemu pasukan tuan rumah, Jepun.

Ketika Taufan Hagibis dijangka melanda ketika perlawanan peringkat kumpulan pada hujung minggu ini, Wales berdepan cabaran getir sebelum berjaya bangkit dengan kemenangan mata bonus, 29-17.

Keputusan itu membolehkan Wales dan Australia mara dari Kumpulan D, di mana Wales mendahului dengan tiga mata menjelang baki perlawanan menentang Uruguay.

Australia menentang Georgia pada Jumaat.

“Lihat ia memang sukar. Mereka mempunyai pemain indivdu yang luar biasa dan kami perlu bertahan,” kata jurulatih Wales Warren Gatland.

“Kami mempunyai empat hari yang mencabar sebelum menentang Uruguay. Saya fikir pegawai perubatan akan bekerja keras dalam tempoh 24-48 jam namun kami gembira dengan kemenangan mata bonus.”

Menjelang perlawanan akhir peringkat kumpulan tamat hujung minggu ini, pegawai perlawanan memberi amaran bahawa Hagibis, ketika ini diklasifikasikan sebagai tertinggi dalam skala taufan Jepun, dijangka melanda sebahagian pantai Jepun, berkemungkinan mara ke Tokyo pada Sabtu.

Piala Dunia Ragbi akan memberi perkembangan situasi itu esok. Taufan itu juga dijangka menjejaskan perlumbaan Formula Satu, Grand Prix Tokyo di Suzuka, di barat Tokyo hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 10:22 PM