Hafizh akan beraksi bersama pasukan Angel Nieto dalam saingan Moto2 musim depan. FOTO fail NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah sah kembali beraksi di saingan Moto2 musim depan bersama pasukan Angel Nieto.

Hafizh yang ketika ini beraksi di saingan MotoGP bersama Red Bull KTM Tech 3, akan bergandingan bersama pelumba Sepanyol, Aron Canet pada musim depan.

Hafizh pernah beraksi di saingan Moto2 bermula musim penuh 2014 dengan pencapaian terbaiknya berada di kelompok 10 terbaik pada musim 2016 dan 2017.

Dia kemudian beraksi dalam kelas perdana, MotoGP bersama Monster Yamaha Tech 3 pada tahun lalu sebelum bersama Red Bull KTM Tech 3 musim ini tetapi kontraknya tidak disambung musim depan.

Hafizh membuat pengumuman berhubung masa depannya itu pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 4:15 PM