MOUNT (dua kanan) menjadi sandaran Lampard untuk mencetak gol. — FOTO Reuters
AFP

FRANK Lampard menegaskan Chelsea belum sempurna selepas Tammy Abraham dan Mason Mount meraikan panggilan ke skuad England dengan mencetus inspirasi kemenangan 4-1 ke atas Southampton, lewat malam tadi.

Abraham, Mount dan rakan sepasukan Blues, Fikayo Tomori semuanya disenaraikan oleh pengurus England, Gareth Southgate dalam skuad bagi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria.

Trio muda berbakat itu sekali lagi mencuri tumpuan di St Mary’s ketika Abraham dan Mount menyumbang gol untuk mengekalkan permulaan cemerlang mereka musim ini.

Chelsea melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris menjelang apa yang menjanjikan rehat tugasan antarabangsa mengujakan buat tiga bakat muda kelab itu.


LAMPARD (kiri) percaya Abraham (kanan) mampu memukau di Stamford Bridge. — FOTO AFP

“Saya gembira kami berada dalam kelompok atas. Jelas sekali Liverpool berada di kelas tersendiri tapi pada peringkat awal ini kami berada di tempat yang bagus,” kata Lampard.

“Ia patut memberikan kami keazaman untuk pergi (bagi tugasan antarabangsa) dan pulang dengan keghairahan sama kerana jika anda relaks dalam liga ini ia boleh berubah sekelip mata.”

Abraham mengumpul sembilan gol dalam semua pertandingan buat Chelsea musim ini, membuktikan kenapa Southgate berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi perlawanan kompetitif sekali gus memastikan dia beraksi untuk England.

Penyerang berusia 22 tahun itu meraih dua penampilan buat England pada aksi persahabatan menentang Brazil dan Jerman pada 2017, namun dia berkira-kira untuk mengubah status antarabangsanya bersama Nigeria, yang mana dia layak menerusi negara asal bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 1:50 PM