Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


Menyedari e-Sukan mula berkembang pesat, bantuan dari sudut kesihatan juga tidak ketinggalan disediakan bagi kepentingan peminat sukan berkenaan.

Esports MedicA yang terdiri daripada sekumpulan pakar perubatan dan persatuan e-Sukan bersedia untuk menjadi servis sokongan terpenting kepada atlet e-Sukan serta seluruh komuniti.

Menurut pengasas Esport MedicA, Dr Zatul-‘Iffah Abu Hasan, kumpulan berkenaan adalah gabungan antara e-Sukan, perubatan dan juga bidang akademik.

Dr Zatul menekankan bahawa semuanya semakin lengkap dalam ekosistem e-Sukan di Malaysia namun dari sudut kesihatan, masih belum ada kumpulan perubatan untuk berkhidmat bagi komuniti e-Sukan.

Oleh itu, kehadiran mereka bakal memberikan sinar baharu buat sukan berkenaan.

Inisiatif itu disambut baik dan mendapat sokongan penuh kerajaan dan juga industri.

“Kami sebenarnya tidak begitu risau dengan pemain profesional kerana kebiasaannya mereka mempunyai jurulatih untuk memantau. Kami lebih risau mengenai komuniti dan masyarakat yang berjinak-jinak untuk menjadi atlet sukan ini kerana masih kurang pendedahan daripada segi aspek kesihatan.

Berkata soal kesihatan, ia merangkumi kesihatan fizikal dan juga mental. Adalah satu kerugian sekiranya komuniti itu tidak dididik sejak awal kerana mungkin ada antara mereka bakal bergelar atlet negara yang dapat melonjakkan nama Malaysia dalam e-Sukan.

“Setiap individu mempunyai minat tersendiri, ada yang minat dengan aktiviti ‘outdoor’ dan ada yang meminati aktiviti ‘indoor’. Oleh itu, tidak salah sekiranya seseorang itu memilih untuk berkecimpung dalam bidang e-Sukan asalkan ia berlandaskan tatacara yang betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 9:00 AM
PEMAIN profesional kebiasaannya sudah mempunyai jurulatih untuk memantau.