SEPAKAN percuma Mahrez (kanan) di Goodison Park minggu lalu bertaraf dunia. — FOTO premierleague.com
AFP

RIYAD Mahrez kembali ke prestasi terbaiknya selepas musim sulung mengecewakan bersama Manchester City dan juara Liga Perdana Inggeris itu menuai hasilnya ketika mereka gigih mencabar pendahulu Liverpool.

Apabila anak buah Pep Guardiola melayan kunjungan Wolves malam esok tanpa Kevin De Bruyne yang cedera, pemain sayap Algeria, Mahrez sedia memegang tanggungjawab untuk memacu kemenangan City.

Ia jauh lebih baik berbanding beberapa bulan pertama Mahrez di Stadium Etihad, ketika perpindahannya dengan rekod kelab £60 juta (RM309 juta) dari Leicester berdepan risiko menjadi satu mimpi ngeri.

Gagal menemui prestasi yang menyaksikannya menang anugerah pemain terbaik tahunan PFA kerana peranannya mengemudi kejayaan Leicester menjuarai Liga Perdana 2016, Mahrez ternyata mengecewakan.


GUARDIOLA percaya terhadap kemampuan Mahrez. — FOTO premierleague.com

Apatah lagi persembahan mengagumkan Raheem Sterling dan Bernardo Silva menghalang Mahrez daripada mendapat banyak peluang untuk mengembalikan rentaknya.

Guardiola sejak itu membayangkan Mahrez tidak gembira kerana kurang beraksi dan membiarkan situasi itu menjejaskan persembahannya.

“Dia mempunyai kualiti. Mungkin hanya satu perkara yang perlu ditingkatkannya adalah lebih tenang apabila tidak bermain. Hanya itu. Selain itu dia memang bagus,” kata Guardiola.

Kini Mahrez sudah beraksi 10 daripada 11 perlawanan City dalam semua pertandingan, menjaringkan tiga gol – termasuk sepakan percuma menakjubkan ketika menang di Everton hujung minggu lalu – selain mencipta tujuh bantuan gol.

“Sepanjang musim ini permainannya mengagumkan,” kata Guardiola. “Dia seorang pemain luar biasa. Saya gembira buatnya kerana dia bermain pada satu tahap menakjubkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 12:36 PM