V SHEM dan Wee Kiong ketika sesi autograf bersama peminat di Bangsar. - FOTO Yonex Malaysia
Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my


BERADA di ranking ke-10 dunia dan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bukan tiket untuk pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bersenang-lenang.

Menurut V Shem, selepas melonjak ke kedudukan berkenaan, dia dan Wee Kiong memang berasa sedikit lega namun tidak boleh berasa terlalu bertenang tatkala perjalanan mereka untuk memburu slot ke Tokyo masih lagi panjang.

"Kami tidak boleh berasa terlalu selesa dan paling penting kami harus terus mempamerkan rentak terbaik," katanya ketika ditemui selepas Sesi Autograf Bersama Peminat hari ini.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui paling penting buat mereka sekarang ini ialah mempunyai keyakinan kepada diri sendiri.

"Jangan sentiasa berasa cukup dengan apa diraih sekarang dan kami harus terus melonjakkan diri lagi. Sekarang kami adalah beregu lelaki terbaik negara dan kami juga mahu kekal konsisten.

"Dalam masa sama kami mengharapkan agar Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga mampu bersaing. Jangan sesekali menyerah kalah," katanya.

V Shem-Wee Kiong yang berjaya meraih dua kejuaraan setakat ini di Masters Thailand dan Terbuka Taiwan mengakui untuk layak ke Olimpik mereka harus mempunyai keyakinan. "Sebelum ini prestasi kami sedikit menurun selepas menang di Thailand. Ia perkara biasa apabila sentiasa tewas awal, prestasi akan menurun. Bagaimanapun, selepas mendapat rentak kemenangan barulah kami meningkat semula.

“Sekarang kami harus mempertingkatkan prestasi dan konsisten. Jangan cepat berasa mahu menyerah kalah walaupun dua kali ditewaskan pasangan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 9:06 PM