HAFIZH bakal sertai Angel Neito.
Saiful Affendy Sapran
sukan@hmetro.com.my


PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilaporkan sah akan kembali beraksi di saingan Moto2 musim depan.

Meskipun belum mendedahkan nama pasukan itu namun laporan menyatakan Hafizh yang beraksi dalam kelas perdana MotoGP bersama Red Bull KTM Tech 3 musim ini akan menyertai pasukan Angel Nieto dengan pelumba sedia ada, Jake Dixon bakal berhijrah ke Petronas Sprinta Racing musim depan.

"Kami baru menandatangani pra kontrak. Kami belum lagi menandatangani kontrak sebenar. "Mungkin minggu ini kami akan melakukannya," kata Hafizh seperti dipetik menerusi laman web crash.net.

Hafizh bagaimanapun mengesahkan akan kembali ke Moto2 musim depan dengan sasaran lebih tinggi dalam usaha kembali beraksi di MotoGP.

"Ia bukanlah cabaran baru tetapi cabaran sebenar bagi saya ialah enjin berbeza. Apabila kembali ke Moto2, saya mahu cuba melakukan seperti (Thomas) Luthi yang sentiasa berada di kedudukan lima terbaik dan menaiki podium.

"Saya juga mahu berada di kelompok lima terbaik. Saya pernah menduduki kedudukan pelumba 10 terbaik Moto2 selama dua tahun. Saya tidak katakan ia lebih mudah musim depan tetapi mengambil kira pengalaman di MotoGP serta tahap kecergasan ketika ini, saya percaya mampu memberikan cabaran.

"Sudah tentu saya gembira kerana masih beraksi di kejohanan ini dan mahu kembali ke MotoGP secepat mungkin," katanya. Pelumba berusia 25 tahun itu dijangka akan mengumumkan secara rasmi berhubung pasukan akan disertainya tahun depan selepas berakhir Grand Prix (GP) Thailand minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:10 PM