Nor azam Azih menjalani latihan fisioterapi akibat cedera dan tidak dapat menyertai perlawanan persahabatan. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


TONGGAK tengah Harimau Malaya, Nor Azam Azih tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan pasrah selepas disahkan mengalami kecederaan buku lali kanan.

Keadaan itu memaksa pemain Pahang itu, melupakan aksi persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Malah, dia juga tidak akan sempat pulih menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Vietnam di Hanoi pada 10 Oktober ini.

Menurutnya, dia masih terasa sakit di buku lali terutama selepas melakukan larian dan aktiviti ringan.

"Kecederaan saya masih sama macam bila berlari lepas itu bengkak akan naik balik.

"Saya rasa mungkin tak sempat (pulih sebelum menentang Vietnam) lagipun tinggal beberapa hari lagi perlawanan dia Hanoi. Saya cuma fokus untuk pemulihan dan fisioterapi.

"Saya rasa kalau ikutkan banyak lagi perlawanan selepas Vietnam ada lagi dua atau tiga 3 perlawanan. Kalau saya tak sempat bermain lawan Vietnam, panggilan skuad negara yang seterusnya saya akan buat apa yang mampu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Padang Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, semalam.

Masalah kecederaan Nor Azam ini bukanlah yang pertama buatnya kerana tonggak berusia 24 tahun itu pernah digugurkan saat akhir oleh Cheng Hoe sebelum kempen Piala AFF tahun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya muncul naib juara di belakang Vietnam Disember lalu.

Kehadiran pemain perancang kelahiran Maran, Pahang itu amat penting dalam pasukan yang dilihat memiliki masalah untuk menguasai bola di bahagian tengah.

Dua aksi kelayakan Piala Dunia menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu membuktikan bahawa kehadirannya mampu memberi impak positif di bahagian tengah.

Dalam aksi berkenaan, Malaysia mencatat kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dan hampir mengejutkan UAE sebelum tunduk 1-2.

"Kalau ikutkan kecederaan saya ini dah banyak kali termasuk daripada lutut hingga kena cedera ACL (Anterior Cruciate Ligament) sebab pemain yang pernah kena kecederaan macam ini jangan terlalu guna pakai kudrat tapi otak.

"Takut sebab kecederaan itu bila-bila masa waktu perlawanan boleh terkena," katanya yang menerima kecederaan buku lali ketika aksi menentang UAE.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 12:59 AM