WILLIAN (tengah) memastikan Chelsea menang kali pertama di Eropah musim ini. — FOTO Reuters
AFP

JARINGAN lewat menakjubkan Willian membantu Chelsea menang 2-1 ke atas Lille di gelanggang lawan awal pagi tadi yang diharap menjadi pencetus semangat mereka dalam kempen Liga Juara-Juara namun bintang muda Frank Lampard mencuri tumpuan sekali lagi.

Pemain Brazil itu menyudahkan voli kencang pada minit ke-78 bagi memastikan kemenangan di Stade Pierre-Mauroy yang berbumbung pada penampilan ke-300 buatnya bersama kelab itu.

Terdahulu Tammy Abraham meletakkan Chelsea di depan pada hari jadi ke-22 dengan gol kelapannya musim ini, namun Victor Osimhen menyamakan kedudukan buat Lille.

Chelsea kini menghidupkan kembali peluang dalam Kumpulan H selepas tewas di laman sendiri kepada Valencia dua minggu lalu, sekalipun Ajax terus mengungguli kumpulan itu dengan enam mata maksimum.


ABRAHAM (kanan) meledak gol pertama di Stade Pierre-Mauroy, Lille. — FOTO Reuters

“Secara keseluruhan ia perlawanan yang bagus. Ia bukannya tempat yang mudah untuk bermain. Pujian buat seluruh pasukan, satu persembahan fantastik,” kata Abraham kepada BT Sport.

Pasukan Lampard berdepan Ajax selepas ini dan pasti tampil dengan keyakinan tinggi susulan kemenangan itu.

“Ia satu tempat yang sukar – bumbung digunakan, penyokong menyebelahi mereka, kepantasan juga menjadi milik mereka dan menerusi serangan balas memang terbukti, jadi kami perlu bersedia dan saya fikir persembahan kami amat bagus,” kata Lampard.

Lampard menurunkan dua pemain berusia 24 tahun selain empat lagi pemain berusia bawah 22 tahun dalam kesebelasan utamanya, ketika pemain remaja Reece James bermula di pertahanan sayap kanan dalam formasi 3-4-1-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 8:02 AM