Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KEJAYAAN menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia menjadi tonik terbaik buat Ng Eain Yow untuk mempamerkan aksi terbaik pada Terbuka Amerika Syarikat di Philadelphia, Sabtu ini.

Pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil Ahad lalu, pemain skuasy negara berusia 21 tahun itu meraih kejuaraan terbesarnya selepas menundukkan pilihan kedua, Nicholas Muller dari Switzerland 11-7, 12-14, 11-9, 11-5.

Bekas juara remaja dunia 2016 itu mengakui dirinya kini berada pada prestasi terbaik selepas kecewa dengan kegagalan meraih sebarang kejuaraan pada tahun lalu.

"Saya sememangnya berpegang kepada prinsip supaya terus berusaha gigih menjalani latihan bagi memperbaiki prestasi dan corak permainan. "

“Usaha itu ternyata membuahkan hasil selepas memenangi Terbuka Malaysia dan menyuntik semangat saya untuk kekal fokus pada aksi di Amerika Syarikat nanti," katanya.

Dalam pada itu, kata Eain Yow, dia akan menjalani latihan intensif di England pada pertengahan bulan ini untuk meningkatkan lagi prestasinya.

"Saya berterima kasih dengan segala sokongan terutama motivasi berterusan yang diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Pemain ranking 37 dunia itu dijadualkan menentang Adrian Waller dari England pada aksi pembukaan Terbuka Amerika Syarikat.

Kejohanan selama lapan hari bermula Sabtu ini turut disertai dua pemain skuasy wanita negara iaitu Low Wee Wern dan S Sivasangari.

Untuk rekod, Eain Yow adalah pemain ketiga negara menjuarai Terbuka Malaysia selepas Ong Beng Hee pada edisi 2000 dan 2008 serta Mohd Azlan Iskandar (2004, 2007, 2010).

Biarpun kejohanan itu tidak lagi disenaraikan dalam Siri Dunia sejak 2014, saingan masih diletakkan dalam acara PSA Challenger bagi kategori lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 3:19 PM