PEMAIN giat menjalani sesi latihan menjelang pertemuan menentang Vietnam.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahukan ‘Azam’ baharu dalam kesebelasan utamanya jika pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih gagal pulih menjelang pertemuan menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, di tempat lawan, pada Khamis depan.

Cheng Hoe berkata, beliau bersama barisan jurulatih sentiasa memantau perkembangan pemain terbabit dan perlu segera mencari pengganti Azam dengan melihat keupayaan anak buahnya yang lain untuk menggalas cabaran mengawal bahagian tengah.

Beliau berkata, Azam dilihat berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik terutama mengawal bahagian tengah pasukan negara pada perlawanan sebelum ini sekali gus ciri berkenaan perlu ada kepada pemain yang bakal menggantikan posisi tonggak Pahang itu kelak.

“Sudah tentu kita akan lihat pengganti lain yang ada jika Azam tidak dapat beraksi menentang Vietnam. Azam kemungkinan besar tidak akan beraksi menentang Sri Lanka Sabtu ini dan kami juga tidak mahu memaksanya beraksi jika tidak pulih sepenuhnya.

“Kami masih lagi memantau keadaan lima pemain yang cedera dan melihat perkembangan mereka termasuk mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Cheras, di sini, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan skuad Harimau Malaya boleh dikatakan tempang apabila lima tonggaknya mengalami kecederaan sekali gus kemungkinan terpaksa melupakan perlawanan akan datang.

Malah, perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada Sabtu ini mungkin tidak akan dibarisi Azam dan Daniel Amir yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama pasukan masing-masing pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru.

Pemain lain yang turut kemungkinan terpaksa melupakan aksi itu adalah J Partiban, Abdul Halim Saari dan pertahanan kental negara, Shahrul Saad.

Sementara itu, penyerang, Shahrel Fikri mahu mempamerkan persembahan terbaik jika diturunkan pada aksi menentang Vietnam kelak.

Walaupun terpaksa bersaing dengan dua lagi pemain iaitu penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha dan Syafiq Ahmad, dia tetap yakin berpeluang merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:10 AM