TAMMY Abraham. - FOTO Agensi
Agensi

TAMMY Abraham dijangka menyarung jersi England jika terpilih dalam skuad Gareth Southgate sekali gus menghampakan harapan Nigeria mendapatkan khidmat penyerang muda itu.

Akhbar melaporkan Persatuan Bolasepak (FA) meminta laporan perubatan Abraham daripada Chelsea yang menunjukkan dia dipertimbangkan dengan serius untuk aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria bulan ini.

Southgate bakal mengumumkan senarai pemain pada Khamis ini dengan prestasi cemerlang Abraham pada awal musim membolehkan dia mendapat panggilan Three Lions.

Nigeria pula berusaha meyakinkan Abraham yang mempunyai dua kap bersama England menukar komitmen antarabangsanya.

Bagaimanapun, penyerang berusia 22 tahun itu masih belum menjelaskan secara umum jersi negara bakal disarungnya tetapi difahamkan Abraham yang layak beraksi untuk Nigeria menerusi bapanya bersedia menyahut panggilan England jika dipilih Southgate minggu ini.

Abraham tidak boleh mewakili Nigeria jika beraksi bersama England ketika menentang Czech dan Bulgaria kerana membabitkan aksi kompetitif.

Penyerang Blues itu menjaringkan tujuh gol dalam aksi Liga Perdana musim ini menjadikan dia pemain Inggeris paling banyak menjaringkan gol dalam saingan tertinggi.

Nigeria juga berminat mendapat khidmat rakan sepasukan Abraham, Fikayo Tomori yang beraksi bersama England dan Kanada di peringkat belia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 11:09 AM