SYAZWAN Zainon meraikan gol pertama bagi Selangor pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2019 antara pasukan Selangor bertemu Perak di Stadium Shah Alam. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


KEBANGKITAN yang diidamkan Selangor pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menjadi kenyataan apabila bekas juara sebanyak 33 kali itu bangkit membenam Perak 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kekuatan mental nyata menjadi tonik kebangkitan skuad Red Giants yang sebelum ini tewas 0-1 pada suku akhir pertama di Ipoh minggu lalu dan kemenangan 3-2 secara agregat itu menyaksikan hasrat skuad The Bos Gaurus mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu turut lebur.

Tiada jalan lain buat skuad Merah Kuning selain meraih kemenangan dalam perlawanan ini untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya dan seperti diduga tuan rumah jelas menguasai aksi sebaik wisel permulaan ditiupkan.

Selangor yang dibimbing B Sathianathan mula mengancam kubu pelawat menerusi percubaan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-10.

Perak yang cuba mengimbangi corak permainan pantas pasukan tuan rumah memiliki peluang terbaik pada minit ke-25 tapi sepakan percuma pemain import Brazil, Leandro Dos Santos sedikit tersasar.

Selangor yang meraih sepakan sudut yang ketiga akhirnya berjaya memanfaatkan peluang itu apabila situasi kelam kabut di depan gawang Perak bijak dihidu Syazwan Zainon buat meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-31 sekaligus mengikat kedudukan agregat 1-1.

Gol berkenaan menyuntik semangat tuan rumah untuk memburu gol kedua dan Khyril Muhymeen tidak membuat kesilapan kali ini apabila dia mudah menolak masuk bola ke gawang selepas menerima hantaran Ifedayo di minit ke-44.

Menyedari ketinggalan 2-1 secara agregat, Perak kembali memperkemaskan aksi di babak kedua namun Khyril Muhymeen sekali lagi mencuri tumpuan untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-67.

Pelawat tidak mengaku kalah dan Brendan Gan berjaya meraih gol pada minit ke-82 namun ia tidak cukup menghalang Selangor mara ke separuh akhir untuk berdepan juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) pertengahan Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 11:37 PM