Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) tenang dalam merealisasikan sasaran dua emas di Sukan SEA Filipina selepas melihat prestasi dipamerkan pesilat negara di Terbuka Malaysia 2019 yang berakhir hari ini.

Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan dengan meraih 11 emas, dua perak dan tiga gangsa dengan dua atlet sandaran, Mohd Faizul Nasir dan Zulfazly Zulfakar turut menewaskan lawan masing-masing di pentas final.

“Saya sedikit yakin dengan pesilat yang disasarkan bagi Sukan SEA nanti terutamanya Faizul dan Zulfazly. Sejak awal saya sudah nyatakan Faizul tidak boleh kecundang pada kejohanan ini dan akhirnya dia berjaya.

“Begitu juga Zulfazly yang kita mahukan lahirkan dia sebagai Al-Jufferi Jamari “kedua” dalam masa terdekat. Hanya dua pesilat Sukan SEA tidak berjaya dan seorang lagi dibatalkan kerana melanggar peraturan,” jelas Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Skuad silat negara yang meraih 10 emas dua tahun lalu semasa Sukan SEA berlangsung di Kuala Lumpur terpaksa mengecilkan sasaran kepada dua emas selepas tuan rumah, Filipina tidak mempertandingkan sejumlah acara yang dikuasai atlet negara termasuk yang dimenangi Al-Jufferi dan Siti Rahmah Mohamed Nasir.

“Saya juga berpuas hati dengan persembahan silat seni namun tidak boleh selesa kerana Indonesia dan Vietnam tidak mengambil bahagian pada kejohanan. Bagaimanapun ia tetap bagus untuk persediaan Sukan SEA,” tambahnya.

Secara keseluruhan, Megat Zulkarnain menyifatkan edisi kedua kejohanan yang membabitkan 21 pasukan dari dalam dan luar negara berjaya.

“Terdapat potensi baru yang boleh diketengahkan apabila PESAKA membuka peluang kepada pasukan negeri untuk turut bersaing. Pesilat muda dapat turun ke gelanggang untuk berlawan dengan juara kebangsaan serta dari luar negara,” katanya

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 8:35 PM