Gabriel Jesus (kanan) diasak pemain Everton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di London awal pagi ini. FOTO Reuters
Reuters

GABRIEL Jesus, Riyad Mahrez dan Raheem Sterling menghasilkan jaringan ketika juara bertahan, Manchester City menang 3-1 di Everton awal pagi ini, untuk kekal lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool.

Selepas Liverpool mencatat kemenangan 1-0 di Sheffield United, malam tadi, tekanan memuncak kepada City supaya tidak membenarkan barisan kendalian Juergen Klopp menjarakkan kedudukan lapan mata mendahului pada peringkat awal kempen.

Jaringan berkenaan mungkin menggambarkan kemenangan selesa buat City, hakikatnya skuad bimbingan Pep Guardiola diberi tentangan hebat oleh Everton yang menghasilkan lapan percubaan tepat dan beraksi dengan penuh agresif dan kekuatan.

City harus berterima kasih kepada penjaga gol kelahiran Brazil, Ederson yang menyelamatkan banyak percubaan ke gawang gol dan tidak sehingga Mahrez dan Sterling menyumbat gol pada penghujung 20 minit babak permainan untuk memastikan skuad juara itu memungut mata penuh.

“Setiap musim adalah cukup sukar di Goodison Park. Dengan permainan yang menyerlahkan perwatakan kami. Mereka mempunyai peluang tetapi kami juga mempunyai peluang, ia adalah permainan seperti ini. Bola sepak adalah sesuatu yang sukar dijangka,” kata Guardiola.


Riyad Mahrez meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters

Everton menerima tamparan awal apabila kehilangan khidmat pemain sayap, Theo Walcott pada minit awal permainan selepas hantaran lintang Sterling terkena mukanya dan terpaksa di bawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Selepas percubaan pada sudut dekat Ilkay Gundogan terkena palang buat City, pelawat berjaya mendahului pada minit ke-24 apabila pemain Brazil, Jesus berada di sudut tepat gawang gol untuk menanduk masuk bola hantaran Kevin De Bruyne sebelum Dominic Calvert-Lewin menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Liverpool mendahului dengan 21 mata mengatasi City dengan 16 mata. Everton di kedudukan ke-15 dengan tujuh mata tetapi pengurusnya Marco Silva melihat persembahan pasukannya menunjukkan peningkatan.

“Pemain mempunyai sikap yang bagus dan terus terang, kami mempunyai peluang terbaik sebelum mereka menjadikan kedudukan 1-2, menerusi Mina dan Calvert-Lewin. Ederson berjaya menghalang dengan baik sekali,” katanya.

“Ia adalah perlawanan yang bagus, satu perlawanan kompetitif. Kami tidak mendapat mata tetapi banyak perkara positif.” tambah Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 7:39 AM