Pengunjung merasai pengalaman serverDNA-IV. FOTO serverDNA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


SEPERTI Seperti berada di dunia lain, itulah pandangan dapat diberikan mengenai serverDNA-IV anjuran serverDNA dan Persatuan E-Sukan Kuala Lumpur (ESKL) yang menghimpunkan komuniti e-Sukan.

Bukan hanya permainan video semata-mata, serverDNA-IV adalah platfom terbaik menghimpunkan peminat, atlet, pengeluar dan selebriti berkaitan e-Sukan.

serverDNA adalah acara komuniti yang menghimpunkan penggiat e-Sukan dan pengunjung pula tidak dikenakan sebarang bayaran masuk.

Menurut Pengasas serverDNA, Rupern Chiu, kehadiran pengunjung pada hari pertama sangat memberangsangkan dan paling menarik ia dua kali ganda berbanding serverDNA III.

“Seramai 2,000 pengunjung menghadiri serverDNA-IV, semalam dan jumlah ini dijangka bertambah kepada 5,000 pada hari kedua hari ini.

Selain pertandingan FIFA20 dan PUBG Mobile, pengunjung yang datang boleh merasai sendiri pengalaman bermain simulasi perlumbaan kereta, permainan video VR dan mencuba pernainan komputer seperti Dota2 serta Counter Strike-Global Offensive (CS-GO),” katanya.

Ujar Rupern antara yang menarik di serverDNA-IV ialah pengumuman Sidang Kemuncak Cosplay Dunia 2020.

“Antara perkara paling menarik di sini ialah dengan adanya Esports MedicA iaitu pemeriksaan, khidmat nasihat dan kempen kesihatan dalam sukan e-Sukan.

“Terdapat juga ceramah dan penerangan perniagaan mengenai e-Sukan, manakala streamers atau selebriti e-Sukan di laman sosial juga berpeluang berjumpa dengan peminat mereka selain bertukar pendapat, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 12:10 AM