EAIN Yow.
BERNAMA

BEKAS juara remaja dunia, Ng Eain Yow menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih beraksi di dalam kategori lelaki Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia yang berlangsung di Arena Nicol David, hari ini.

Eain Yow pilihan keempat kejohanan mempamerkan aksi cemerlang menumpaskan pilihan keenam Tayyab Aslam dari Pakistan 11-9, 12-10 dan 11-2 dalam masa 38 minit di suku akhir.

Dia akan bertemu Rui Soares di separuh akhir esok selepas pemain tidak ternama dari Portugal itu mengejutkan pemain Sepanyol, Carlos Cornes Ribadas dalam pertarungan lima set dengan keputusan 4-11, 4-11, 11-6, 11-4 dan 12-10 dalam satu lagi aksi suku akhir.


IVAN Yuen.

Terdahulu, kempen jaguh kebangsaan Ivan Yuen dalam pertandingan Cabaran Jelajah PSA berakhir selepas tewas 10-12, 6-11, 11-8, 11-6 dan 8-11 kepada pemain nombor 28 dunia, Nicholas Mueller dari Switzerland.

Dalam kategori wanita, bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern meneruskan aksi lancar dengan menundukkan lawannya, pilihan ketujuh dari Mesir, Menna Hamed 11-5, 11-3, 8-11 dan 11-3 dalam tempoh 24 minit.

Pemain pilihan ketiga kejohanan Rachel Arnold menewaskan rakan senegara Ooi Kah Yan 11-3, 11-3, 7-11, dan 11-5 dalam satu lagi perlawanan suku akhir untuk mara ke separuh akhir bersama Wee Wern mewakili Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:02 AM