Paul Pogba. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sudah membayangkan kehadiran semula pemain tengah berpengaruh dalam pasukannya, Paul Pogba menjelang perlawanan menentang Rochdale pada aksi Piala Liga, awal pagi Khamis ini.

Pogba tidak dapat diturunkan sejak United seri 1-1 menentang Southampton pada 31 Ogos lalu berikutan mengalami kecederaan buku lali, namun dia berharap dapat berada pada tahap kecergasan terbaik bagi aksi pertembungan Liga Perdana dengan melayan kunjungan Arsenal pada awal pagi Selasa nanti.


Ole Gunnar Solskjaer. FOTO AFP

“Dia (Pgoba) mungkin dapat beberapa minit permainan menentang Rochdale,” kata Solskjaer menerusi laman sesawang kelab itu.

“Tetapi kami fikir dia sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Arsenal.”

Mason Greenwood tidak diturunkan ketika United tewas pada aksi Liga Perdana menentang West Ham kelmarin selepas terkena serangan demam tonsil dan pemain remaja itu diharap dapat kembali bersama pasukan bertemu Rochdale.

Luke Shaw mengalami hamstring dan Anthony Martial (paha) kedua-duanya dijangka terlepas pertembungan pertengahan minggu tatkala meneruskan rawatan kecederaan selepas rehat antarabangsa.

Marcus Rashford turut berdepan minggu malang dan terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika United tewas 0-2 kepada West Ham.

Angel Gomes dan Tahith Chong mungkin kembali dalam barisan pasukan berdepan Rochdale selepas membuat penampilan berdepan Astana dalam Liga Europa minggu lalu, sementara Jesse Lingard dalam senarai kesebelasan utama dalam tempoh sebulan selepas pulih daripada kecederaan.

United tampil aksi permulaan musim baru mengecewakan, merekodkan lapan mata dalam enam perlawanan untuk berada di kedudukan kelapan di ranking liga perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 7:59 PM