LLORENTE meraikan jaringannya di Lecce. - FOTO EPA
Reuters

DUA jaringan Fernando Llorente membantu Napoli melonjak ke tangga ketiga Serie A selepas menang 4-1 di Lecce manakala Edin Dzeko muncul wira AS Roma menewaskan Bologna 2-1, awal pagi tadi.

Pemain Sepanyol, Llorente membuka tirai jaringan buat skuad Carlo Ancelotti sebelum Lorenzo Insigne menggandakan jaringan menerusi penalti sebelum rehat.

Fabian Ruiz menjaringkan gol ketiga menerusi rembatan lencung sebelum Marco Mancosu merapatkan jurang hasil sepakan penalti tetapi Llorente mengesahkan kemenangan Napoli hasil tolakan jarak dekat.

Di Bologna, pertahanan Roma, Aleksandar Kolarov yang menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik menghadiahkan penalti kepada Bologna yang disempurnakan Nicola Sansone untuk gol penyamaan.

Pemain Roma, Gianluca Mancini dilayangkan kad kuning kedua ketika permainan berbaki lima minit dan Dzeko ledak gol kemenangan menerusi tandukan jarak dekat pada babak akhir perlawanan untuk melonjak pasukannya ke tangga keempat.

Napoli memiliki sembilan mata, satu mata di belakang Juventus dan tiga mata di belakang pendahulu, Inter Milan manakala Roma satu mata di belakang mereka manakala Bologna di tangga ke tujuh dengan tujuh mata.

Sementara itu, Franck Ribery mencetak jaringan pertamanya bersama Fiorentina tetapi kelab baharunya gagal meraih kemenangan pertama selepas Atalanta bangkit mengikat keputusan 2-2.

Fiorentina kini kemarau kemenangan dalam 18 aksi Serie A, pencapaian terburuk sejak gagal menang 21 perlawanan pada musim 1937/38.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:00 AM