TAN CHENG HOE
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


TIADA istilah rehat buat Tan Cheng Hoe yang terus mengerah otak dan idea bagi menghadapi aksi ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Hanoi pada 10 Oktober depan.

Jelas pengendali Harimau Malaya itu, sejak berakhirnya dua aksi terawal Kumpulan G bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini, beliau terus meneliti rakaman video aksi Vietnam dan Thailand pada 5 September lalu.

Katanya, skuad Naga Emas dilihat masih mengekalkan sebahagian besar pemain sama ketika menewaskan Malaysia pada final Piala AFF hujung tahun lalu.

Namun beliau mengakui pengalaman Vietnam beraksi pada pusingan akhir Piala Asia Januari lalu mampu memberi kelebihan buat pasukan di ranking ke-99 dunia itu.

“Kami meneliti corak permainan pemain mereka dan lebih kurang kami rasa pemain sama mereka (Vietnam) bawa di Piala AFF tempoh hari.

“Tapi perkara paling penting saya lihat, tahap keyakinan diri dan pengalaman pemain Vietnam di Piala Asia yang masuk sampai suku akhir.

“Itu yang saya rasa mana-mana jurulatih dan pemain pun akan bawa tahap keyakinan bermain suku akhir Piala Asia sebagai kelebihan. Tapi saya tetap percaya jika kami fokus tiada apa yang mustahil,” katanya kepada Arena Metro.

Ditanya mengenai misi di Hanoi, bekas jurulatih Kedah itu mahu anak didiknya meraih tiga mata apabila berkunjung ke tempat lawan.

“Sudah tentu macam selalu saya bagi tahu, kalau kami nak ke pusingan seterusnya pusingan ketiga (kelayakan Piala Dunia) kami kena kutip mata dan kami tak boleh tercicir mata lagi.

“Kalau kami hilang mata kedudukan dalam kumpulan akan jatuh dan akhirnya kami tertekan. Jadi setiap perlawanan bagi saya memang penting kerana kami ingin kekal dalam kelompok teratas,” katanya.

Ketika ini, skuad negara menduduki tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata hasil kejayaan mengejutkan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada aksi pertama 5 September lalu.

Thailand mendahului carta manakala UAE yang menumbangkan Malaysia 2-1 di Bukit Jalil 10 September lalu di tempat kedua dengan masing-masing mengumpul empat dan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:00 AM