BRENDAN (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Selangor di Stadium Perak, Ipoh. -Foto ABDULLAH YUSOF.
Shaarani Ismail
sukan@hmetro.com.my


JUARA bertahan Piala Malaysia 2018, The Bos Gaurus berjaya membenam Selangor 1-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak malam ini.

Bermain dengan kesebelasan pemain terbaiknya, Perak bermula garang pada awal permainan dengan melakukan beberapa serangan untuk mendapatkan jaringan.

Gol tunggal Perak berjaya disumbangkan pemain tengah, Brendan Gan pada minit ke-13 melalui sepakan lerek yang gagal diselamatkan penjaga gol The Red Giant, Khairulazhan Khalid.

Perak meneruskan rentak serangan dan beberapa kali cuba menerobos gawang lawan melalui percubaan yang dilakukan Brendan dan J Partiban namun tidak berhasil.

Pada babak kedua, Selangor pula beberapa kali melakukan percubaan untuk menerobos gawang lawan bagaimanapun kebanyakan percubaan berjaya dipatahkan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.

Namun Perak tangkas membalas aksi serangan dengan melakukan beberapa percubaan termasuk pada minit ke-53 di mana hantaran yang dilakukan Partiban kepada Brendan hampir menambah gol Perak namun berjaya ditepis Khairulazhan.

Selangor cuba bangkit pada babak kedua dengan mengatur beberapa lagi serangan dengan ketua pasukan, Taylor Regan melakukan percubaan pada minit ke-77 namun gagal membuahkan hasil.

Pasukan tuan rumah bagaimana meneruskan asakan pada minit terakhir babak kedua dengan melakukan beberapa serangan namun masih gagal menembusi pertahanan gawang lawan.

Beberapa penyudah dan serangan yang dilakukan kedua-dua pasukan bagaimana pun gagal disempurnakan dengan baik hinggalah pada minit-minit terakhir babak kedua dengan kedua-dua pasukan gagal menyumbat sebarang gol.

Meskipun menang di laman sendiri dengan jaringan 1-0, namun Perak gagal membawa bekalan selesa bagi menentang The Red Giants pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam 29 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:07 AM