SEBASTIAN VETTEL
AFP

PELUMBA Ferrari Sebastian Vettel menamatkan kemarau kejuaraan selama setahun di Grand Prix Singapura malam ini, menakluki litar yang berjerebu untuk kemenangan kelimanya di negara itu.

Pelumba Jerman itu diekori rapat rakan sepasukan Charles Leclerc, yang bermula di petak pertama namun kehilangan kedudukan pendahulu kepada juara dunia empat kali itu selepas memasuki hentian pit manakala pelumba Red Bull Max Verstappen, di tempat ketiga.

“Saya menerima panggilan lewat untuk memasuki hentian pit dan saya memberikan segala-galanya selepas itu,” kata Vettel.

“Saya terkejut apabila berada di depan dan sukar untuk mengendalikan tayar tetapi kami berjaya mengawalnya hingga ke garisan penamat.”

Pendahulu kejuaraan Lewis Hamilton berada di tangga keempat tetapi melebarkan penguasaannya ke atas rakan sepasukan Mercedes, Valteri Bottas kepada 65 mata, dengan baki enam perlumbaan selepas pelumba Finland itu menduduki tempat kelima.

Perlumbaan bermula lancar apabila enam pelumba didepan mempertahankan kedudukan mereka meskipun Vettel memberi tekanan kepada Hamilton di petak kedua pada pusingan pertama.

Ketika beberapa pelumba bertukar kedudukan selepas itu kelompok hadapan mempertahankan jarak satu saat di antara satu sama lain ketika Leclerc memperlahankan keretanya bagi memastikan tayar lembutnya tahan seberapa lama yang mungkin.

Ferrari dan Red Bull adalah pasukan besar pertama membawa kereta mereka ke hentian pit ketika Vettel dan Verstappen diberikan tayar keras pada pusingan ke-20, dengan Leclerc menyusul pada pusingan seterusnya.

Leclerc bagaimanapun tampak kecewa apabila meninggalkan hentian pit itu dan berada di belakang Vettel sekali gus menghancurkan harapannya mencatat kemenangan hatrik selepas menjuarai perlumbaan di Belgium dan Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 11:26 PM