ANAK buah P Maniam hadapi misi ‘hidup mati’ menentang Jepun petang ini. - FOTO Eizairi Shamsudin
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KEKALAHAN tipis kepada Laos kelmarin perlu dijadikan pemangkin untuk skuad bawah 15 tahun (B-15) kebangsaan bangkit menentang Jepun dalam aksi terakhir Kelayakan Kejuaraan B-16 AFC 2020, petang ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain muda negara mesti berjuang habis-habisan menentang gergasi Asia itu dalam aksi di Stadium Nasional, Laos jam 3 petang (4 petang waktu Malaysia), hari ini.

Menurutnya, beliau sudah mengingatkan sebelum ini bukan mudah untuk sesiapa saja mengekalkan kemenangan konsisten.

"Jadikan kekalahan kepada Laos tempoh hari sebagai pemangkin untuk kita bangkit semula menentang Jepun hari ini. Sememangnya menjadi cita-cita kita untuk menang dengan Jepun, namun pemain perlu bekerja keras, berjuang 100 peratus dan paling utama fokus serta ikut corak permainan ditetapkan jurulatih P Maniam.

"Apa yang penting prestasi pemain di atas padang. Saya dan seluruh penyokong Malaysia yakin dengan kemampuan pemain. Ayuh berjuanglah habis-habisan demi lencana di dada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Begitupun, Hamidin menegaskan kalah dan menang bukan soal utama namun apa yang penting pemain dapat menimba pengalaman dan belajar daripada perlawanan.

"Di usia begini kita lebih mementingkan pembangunan berbanding kemenangan tetapi penting untuk kita meningkatkan prestasi diri," katanya.

Skuad B-15 kebangsaan memulakan rentak cemerlang dengan menundukkan Kemboja 7-0, namun tewas 0-1 di tangan tuan rumah, Laos kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 12:59 PM