AKSI Nadal melakukan pukulan ketika menentang Raonic di Geneva. - FOTO EPA
AFP

RAFAEL Nadal menewaskan Milos Raonic dalam aksi pertamanya sejak menjuarai Terbuka AS bagi membolehkan Eropah mendahului 7-3 selepas tamat acara perseorangan pada hari kedua Piala Laver di Geneva, awal pagi tadi.

Nadal menewaskan pemain Kanada, Raonic 6-3, 7-6 (7/1) selepas Roger Federer mengatasi cabaran Nick Kyrgios sekali gus memberikan Eropah dalam situasi terbaik mengekalkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut ke atas Pasukan Dunia.

Pemain Sepanyol itu yang menewaskan Daniil Medvedev dalam aksi epik lima set di Flushing Meadows untuk gelaran ke-19 Grand Slam mempertahankan lapan mata ‘break’ pada set pertama ketika menentang Raonic.

Dia kemudiannya mematahkan servis pemain nombor 24 dunia itu di ‘game’ ketujuh dan Nadal mempamerkan ketenangan untuk mendominasi tie-break pada set kedua seterusnya memenangi perlawanan.

"Saya rasa sangat bertuah,” kata Nadal. "Saya fikir dia sepatutnya menang set pertama tetapi kemudiannya prestasi saya makin bagus.

"Sangat gembira dapat membantu Pasukan Eropah. Ia adalah semangat berpasukan yang hebat. Itu sebabnya kami mampu menjuarai dua edisi sebelum.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 12:15 PM