REAKSI Aguero selepas menjaringkan gol kedua City. - FOTO Reuters
AFP

PEP Guardiola kagum dengan naluri pemusnah Manchester City selepas mencipta rekod kelab dengan membelasah Watford 8-0 dalam aksi Liga Perdana malam tadi.

Beliau turut gembira dengan ‘nafsu’ pemainnya yang tidak mahu mengendurkan serangan walaupun mendahului 5-0 selepas 18 minit permainan di Stadium Etihad.

Kemenangan itu dianggapnya sebagai respon positif di atas kekalahan mengejut 2-3 di Norwich minggu lalu dan tiga hari hari selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara.

"Apa yang menariknya ialah selalunya selepas mendahului 5-0 pada babak pertama, pemain tidak serius pada babak kedua dan aksi membosankan tetapi kami melakukan sebaliknya dengan lebih agresif," kata Guardiola.

"Statistik menunjukkan kami menjaringkan lima percubaan, lima gol. Kadang kadang kami miliki 25 percubaan, 15 atau 20 tetapi anda tak mampu menyempurnakannya.

"Penyokong masih tak faham, wartawan, pengulas dan bekas pemain, kekalahan adat permainan. Pasukan lawan tetap perlu dihormati.

"Perasaan saya sekarang sama seperti saya alami selepas menentang Norwich, jadi ia bukanlah prestasi yang tidak bagus. Kami tewas tetapi paling penting ialah pendekatan dan cara reaksi anda sebagai satu pasukan.”

Pengurus Watford, Quique Sanchez Flores pula meminta maaf kepada penyokong Hornet di atas kekalahan terbesar dalam sejarah kelab mereka.

Mereka ketinggalan 0-1 hanya selepas 53 saat dan kedudukan menjadi 0-5 selepas 18 minit permainan. Mereka bernasib baik hanya tewas 0-8 ketika City tampak seakan dapat menembusi gawang Watford setiap kali melancarkan serangan.

Bernardo Silva meledak hatrik selain jaringan David Silva, Sergio Aguero, Riyad Mahrez, Nicolas Otamendi dan pemain terbaik perlawanan, Kevin De Bruyne.

Sanchez Flores yang mengendalikan perlawanan keduanya sejak dilantik semula menjadi pengurus Hornet berkata: “Pertamanya, saya minta maaf kepada penyokong. Kami membuat banyak kesilapan. Keputusan ini memang sukar apatah lagi dengan cara kami beraksi menentang Manchester City."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 11:12 AM