V SHEM (kiri) dan Wee Kiong. FOTO Luqman Hakim Zubir
Datuk Seri Jalani Sidek

BERCAKAP mengenai tiket untuk ke Sukan Olimpik Tokyo, saya berminat dengan saingan dalam acara beregu lelaki.

Jelas ada persaingan tiga penjuru membabitkan naib juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Mengambil kira prestasi semasa, saya lihat V Shem -Wee Kiong nyata lebih menyerlah apabila muncul juara di Terbuka Taiwan dan mara sehingga ke suku akhir Terbuka China.

Nyata pengalaman yang ada dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka berdua dalam laluan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Nasib nyata berbeza dengan Aaron-Wooi Yik yang terus mempamer aksi hambar termasuk di Terbuka China apabila tersingkir awal.

Akibatnya, V Shem-Wee Kiong kini sudah merampas status beregu terbaik negara apabila melonjak di tangga ke-12 dunia berbanding 13 untuk Aaron-Wooi Yik.

Yew Sin-Ee Yi pula walaupun ketinggalan di belakang, mereka berdua dilihat mempamerkan peningkatan seperti yang dilakukan V Shem-Wee Kiong.

Nah... sekarang ranking V Shem-Wee Kiong lebih tinggi berbanding dua beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Persoalannya, sekiranya situasi ini berterusan sehingga tamat kempen kelayakan Olimpik, adakah BAM sedia memberikan peluang kepada V Shem-Wee Kiong beraksi di Tokyo sedangkan mereka adalah pasangan berstatus profesional?

Pada saya, itu terpulang kepada badan induk berkenaan.

Tapi kalau tanya saya, sudah tentu pilihan semasa saya adalah V Shem-Wee Kiong sebab mereka sememangnya berada pada prestasi terbaik.

Jadi BAM, servis ada di tangan anda.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:30 AM