PEMAIN Batu Dua FC (tengah) diasak pemain lawan.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

BOLOS 27 kali sepanjang tiga aksi!

Fakta itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa tenatnya skuad Batu Dua FC yang bertanding dalam Liga M3.

Memasuki tahun pertama di liga amatur berkenaan, Batu Dua FC sudah mencatat pelbagai kenangan tidak kira pahit atau manis.

Mereka pernah mencatat rekod apabila mengalahkan Rawang City FC dengan jaringan 17-1 tetapi kini, Batu Dua FC pula yang menjadi ‘makanan’ buat pasukan lain.

Tidak cukup dengan itu, pasukan yang berdepan masalah kronik membabitkan soal elaun ke atas pemain itu hanya mempunyai 12 pemain dan kudrat mereka itulah yang diharapkan untuk menamatkan lapan lagi aksi musim ini.

Yang masih ada dalam pasukan, hanya berbekalkan minat dan kecintaan terhadap bola sepak semata-mata kerana elaun RM150 hingga RM300 yang diberikan sudah pasti tidak cukup.

Hakikat itu disahkan pengurus pasukan, Hairil Azri Abu Hassan yang terpaksa menggalas tanggungjawab ditinggalkan pengurusan lama bagi memastikan skuad terbabit dapat terus beraksi.

Beliau berkata, setakat ini pasukan hanya mempunyai seorang pemain simpanan saja untuk mengharungi perlawanan dan mereka terpaksa bertahan bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan kerana tidak menamatkan musim dengan sempurna.

“Secara jujur, saya terpaksa mengambil alih jawatan sebagai pengurus Batu Dua FC apabila melihat pemain dibiarkan tanpa sebarang pembelaan. Kami tiada sumber kewangan yang kukuh dan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membayar elaun kepada pemain kerana tiada penaja.

“Itu belum lagi dikira kos lain membabitkan sewaan padang, keperluan pemain dan pengangkutan untuk ke lokasi perlawanan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan, pemain Batu Dua FC tidak menerima elaun selain hampir lima bulan dan pengurusan dikatakan sudah ‘tawar hati’ untuk meneruskan baki perlawanan.

Malah, rata-rata pemain mengambil keputusan berdiam diri dan tidak turun latihan selain enggan bermain ketika bertemu Kuching FA sebelum ini.

Situasi retak menanti belah itu sudah membelenggu pasukan sejak awal tahun namun baru-baru ini keadaan menjadi semakin buruk apabila tiada pihak tampil membantu menyelesaikan kemelut yang melanda.

Lebih buruk lagi, Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim yang juga penaja utama Batu Dua FC pada musim ini mengumumkan tidak lagi bersama pasukan dan tindakan sama turut diambil Ketua Pegawai Eksekutif Batu Dua FC, Md Zuki Deraman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:00 AM