SKUAD Harimau Malaya kini di ranking 158 dunia. FOTO Mohd Yusni Ariffin
HM Digital

PENINGKATAN ranking skuad Harimau Malaya menunjukkan bahawa skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini berada pada landasan tepat untuk kembali meletakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa seperti yang pernah dikecapi ketika era 1970-an dan 1980-an.

Lonjakan ketara dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) daripada kedudukan 178 dunia pada Mac 2018 kepada 158 ketika ini menunjukkan peningkatan terutamanya selepas Cheng Hoe dilantik selaku ketua jurulatih pada Disember 2017.

Disember tahun lalu adalah kemuncak kepada perubahan besar itu apabila Malaysia hampir mendakap Piala AFF buat kali kedua selepas 2010 namun hajat itu dihalang Vietnam di pentas final yang menyaksikan skuad Naga Emas itu menang 3-2 secara agregat.

Cheng Hoe ketika dihubungi mengaku gembira dengan prestasi semasa pasukan dan beliau menegaskan kejayaan itu hadir di atas semangat kerjasama kuat antara pemain, barisan kejurulatihan dan juga pengurusan tertinggi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kita nampak lebih banyak positif daripada negatif dan itu yang kita nak lihat. Sudah pasti ranking itu satu daripada sasaran kita, tetapi dalam masa sama kita kena lihat keseluruhan persembahan pasukan dalam setiap perlawanan,” katanya.

Dalam kemas kini terbaru yang dikeluarkan FIFA, Khamis lalu, skuad negara naik satu anak tangga daripada 159 sebelum ini.

Kenaikan itu susulan kemenangan 3-2 Harimau Malaya ke atas Indonesia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, meskipun selepas itu tewas kepada UAE (kelayakan Piala Dunia) dan Jordan (aksi persahabatan kelas A).

Malaysia meraih pertambahan 5.694 mata hasil keputusan tiga perlawanan itu menjadikan jumlah kutipan mata secara keseluruhannya adalah 1,015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:31 AM