PENJAGA gol Ben Foster kelihatan murung setelah aksi hambar yang dipamerkan Watford. FOTO Reuters
Reuters

HATRIK Bernardo Silva membantu Manchester City meraih kemenangan kedua terbesar dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan membelasah Watford 8-0 di Stadium Etihad malam ini.

Pasukan juara bertahan itu yang bangkit selepas kekalahan pertama liga sejak Januari di tangan Norwich City, mengejutkan Watford dengan menjadi pasukan pertama menjaringkan lima gol dalam tempoh 18 minit pertama perlawanan Liga Perdana.

David Silva memulakan rentak gemilang City dengan menyempurnakan hantaran Kevin De Bruyne pada minit pertama sebelum jaringan ke-100 Sergio Aguero dalam Liga Perdana menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi penalti.


PAPAN skor keputusan penuh setelah tamat perlawanan di Stadium Etihad. FOTO Reuters

Riyad Mahrez melakukan sepakan percuma yang cantik untuk gol pada minit ke-12, disusuli tandukan Bernardo Silva dan rembatan Nicolas Otamendi melengkapkan amukan dalam tempoh 18 minit itu.

Watford membawa masuk pertahanan tambahan selepas setengah jam perlawanan untuk mengekang asakan lawan, membantu mereka mengharungi separuh masa pertama tanpa kerosakan teruk, sebelum Bernardo Silva menambah gol keenam, tiga minit selepas separuh masa kedua.

Bernardo Silva kemudiannya melengkapkan hatrik pertamanya di liga utama menerusi rembatan jarak dekat sebelum De Bruyne meledak gol kelapan, menghampiri jaringan rekod dilakukan Manchester United ke atas Ipswich Town, 9-0 pada 1995.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 12:34 AM