PKNS FC melepaskan peluang aksi laman sendiri. FOTO facebook FAM
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


PKNS FC mensia-siakan aksi di laman sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan Terengganu IV dalam aksi final pertama Piala Belia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, di sini, malam ini.

Keputusan itu sekaligus memberi kelebihan buat skuad Penyu apabila final kedua berlangsung di Kuala Terengganu pada 28 September ini.

Malah, Terengganu IV yang dibimbing Subri Sulong turut berpeluang menebus kehampaan musim lalu apabila tewas kepada lawan sama di pentas final dengan 1-2 bagi kejohanan bawah 19 tahun kebangsaan itu.

Dalam aksi itu, tuan rumah harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menterjemahkan beberapa peluang terhidang untuk meraih gol.

Sebaliknya pelawat tenang bertahan dan menyerap segala asakan sepanjang 90 aksi itu.

Antara detik keemasan yang gagal disempurnakan pada minit ke-30 apabila rembatan Mustakim Mustapha melambung tinggi, disusuli seminit kemudian kesilapan penjaga gol pelawat mengeluarkan bola di kawasan gol gagal disempurnakan Fazrul Amir.

Bersambung babak kedua, PKNS cuba meningkatkan tekanan namun tetap gagal memburu gol hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:48 PM