PEMAIN JDT Diogo Luis Santo (kiri) meraikan jaringan gol pertama pada aksi perlawanan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia menentang Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


TERENGGANU FC (TFC) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas tumpas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pemain termahal Liga Malaysia (Liga M), Diogo Santo muncul watak pemusnah apabila jaringannya memberi kelebihan kepada pasukan Harimau Selatan itu sebelum aksi kedua pada 28 September ini di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin.

Terdahulu JDT yang tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia musim lalu di Kuala Terengganu terlebih dahulu mencemaskan pintu gol tuan rumah pada minit kelapan menerusi pemain kelahiran Dungun, Safawi Rasid yang mudah dibaca penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Lapan minit berselang Diogo hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang hasil hantaran lintang Safawi, namun bola sepakan pemain itu melambung tinggi.

Usaha berterusan skuad Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil apabila Diogo meledak gol pembukaan pada minit ke-22.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran dari tengah padang, Mauricio Nascimento yang singgah dikepala Safawi sebelum Diogo melepasi kawalan Serhii Andrieiev untuk melakukan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Wan Azraie.

Tersentak jaringan itu, Terengganu menggandakan asakan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34, tapi rembatan penyerang sensasinya, Kipre Tchetche sedikit sipi disebelah kiri pintu gol pelawat selepas menerima umpanan Ashari Samsudin.

Pada masa kecederaan babak pertama, perlawanan terhenti seketika apabila berlaku aksi ‘panas’ antara pemain TFC, Khairul Izuan Rosli dengan Corbin Ong sehingga mendapat campur tangan daripada pemain lain dan barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan, namun pengadil, Wan Tarmizi Wan Ibrahim berjaya meleraikan insiden itu sebelum berlakunya aksi lebih panas.

Menyedari bahagian sayap kurang menyengat, pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain memasukkan Malik Mat Ariff dan Mohamad Rahmat Makasuf bagi menggantikan Ashari dan Khairul Izuan, namun masih buntu memburu gol penyamaan.

Sebaliknya pada minit ke-53, Safawi hampir menambah jaringan kedua pasukannya apabila berjaya memperdaya penjaga gol, tapi bola sepakan leret pemain itu berjaya diselamatkan pertahanan, Nasrullah Haniff Johan atas garisan gol sekali gus menyelamatkan kubu tuan rumah.

Arkitek TFC kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov harus menyalahkan diri sendiri apabila bola rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-64 hanya sedikit melepasi palang gol.

Layangan kad kuning turut mewarnai aksi pada malam ini apabila pengadil melayangkan dua kad itu kepada pemain TFC manakala empat kepada pemain JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:29 PM