LECLERC (kiri) rai kejayaan menduduki petak pertama untuk GP Singapura malam tadi. FOTO AFP
AFP

PELUMBA Ferrari Charles Leclerc menduduki petak pertama untuk Grand Prix Singapura malam ini ketika dia berhasrat meraih hatrik kemenangan selepas menjuarai perlumbaan di Belgium dan Itali.

Pelumba Monaco itu akan disaingi di barisan hadapan oleh pendahulu kejuaraan Lewis Hamilton yang memandu Mercedes manakala rakan sepasukan Leclerc Sebastian Vettel melengkapkan tiga tangga teratas, di depan pelumba Red Bull Max Verstappen dan Valtteri Bottas.

Biarpun menang dua perlumbaan terdahulu, Ferrari bagaikan tidak diberi peluang untuk bersaing di bawah lampu limpah di litar membabitkan 23 selekoh di Singapura.

Namun Leclerc,21, dan Vettel menafikan andaian itu untuk memastikan ia bukan malam pesta buat Mercedes dan Red Bull semata-mata.

“Saya benar-benar gembira hari ini. Ia pusingan yang bagus tetapi saya ketinggalan beberapa kali,” kata Leclerc selepas melengkapkan pusingan terakhir dengan catatan 1:36.217 s.

“Saya perlu berterima kasih kepada pasukan. Kami membawa beberapa peralatan yang berfungsi dengan baik. Saya bekerja keras selepas Jumaat yang teruk dan hari ini ia terbalas,” kata Leclerc yang menduduki petak pertama buat kali kelima musim ini.

Hamilton mempunyai kelebihan 63 mata mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Bottas dengan baki tujuh perlumbaan.

Pelumba Britain itu berkata dia akan menggunakan pendekatan agresif untuk perlumbaan esok untuk memburu kemenangan kesembilan musim ini dan kejuaraan dunia keenam.

“Saya tidak tahu bagaimana Ferrari begitu pantas tetapi mereka melakukan tugas dengan baik,” kata Hamilton yang mencatat 1:36.408s.

“Saya benar-benar gembira berada di barisan hadapan. Esok kita akan menjadi agresif.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:19 PM