MADDISON (kanan) raikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
Reuters

JAMES Madison meledak gol kemenangan bagi membantu Leicester City bangkit daripada ketinggalan dan menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam ini menerusi perlawanan yang banyak dipengaruhi drama VAR.

Pengadil Bantuan Video banyak terbabit dalam perlawanan seawal jaringan Wilfried Ndidi tetapi ia diputuskan sebagai ofsaid.

Namun tiada persoalan membabitkan gol pertama pada minit ke-29 apabila Harry Kane merembat kencang melepasi Kasper Schmeichel untuk memberikan Spurs gol pendahuluan.

Serge Aurier menyangkakan dia menggandakan jaringan pelawat namun selepas campur tangan VAR, ia memihak penyokong tuan rumah apabila kedudukan Son Heung-min dalam gerakan itu dikira ofsaid.

Keadaan menjadi genting apabila Ricardo Pereira menyamakan kedudukan pada minit ke-69 pada jarak 12 ela, memberikan momentum kepada penyokong tuan rumah.

Maddison melengkapkan kebangkitan menerusi rembatan kencang dari jarak 25 ela, lima minit sebelum tamat, berjaya melepasi penjaga gol gantian Paulo Gazzaniga yang cuba menjunam mendapatkan bola, sekali gus melonjakkan Leicester di tangga kedua liga.


REAKSI pemain Spurs setelah tamat perlawanan. FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 10:02 PM