STEVE Hansen
AFP

JUARA bertahan New Zealand memberi amaran pada Piala Dunia Ragbi dengan kemenangan menakjubkan 23-13 ke atas Afrika Selatan hari ini selepas Perancis dan Australia berjaya melepasi ujian getir mereka.

Skuad All Blacks dikritik hebat menjelang misi mempertahankan gelaran ketiga berturut-turut namun mereka berjaya menewaskan Boks dengan 17 mata dalam hanya lima minit separuh masa pertama untuk menutup mulut pengkritik.

Ia kemuncak aksi sepenuhnya pada hari pertama pada kejohanan di Jepun selepas Australia bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Fiji 39-21, dan Perancis berjaya memintas Argentina 23-21.

“Hari ini adalah perlawanan terbesar buat kedua-dua pasukan dan kami bernasib baik berjaya memenanginya,” kata jurulatih All Blacks Steve Hansen.

“Ia satu lagi pertarungan hebat di antara New Zealand dan Afrika Selatan dan diharapkan orang ramai yang menyaksikan hari ini menikmatinya dan teruja dengannya.”

Di Yokohama, venue perlawanan akhir pada 2 Disember, New Zealand ketinggalan menerusi penalti awal namun segera bangkit dengan dua try untuk mendahului Afrika Selatan 17-3 pada separuh masa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:41 PM