ADAM Norrodin
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


ADAM Norrodin tidak dapat beraksi pada perlumbaan sebenar Moto2 Grand Prix (GP) Aragon esok kerana masih berdepan kesakitan di bahu kirinya selepas terjatuh ketika sesi latihan bebas kedua semalam.

Meskipun disahkan cergas untuk turun berlumba selepas melalui ujian perubatan, namun pelumba Petronas Sprinta Racing itu berkata dia merasai kesakitan yang amat sangat dibahunya.

“Saya ambil keputusan untuk tidak beraksi di sesi latihan bebas ketiga hari ini kerana rasa amat sakit malam tadi.

“Amat mustahil untuk berlumba dengan situasi seperti ini terutamanya ketika membrek.

“Saya minta maaf kepada pasukan kerana tidak dapat meneruskan aksi minggu ini,” katanya.

Adam yang menggantikan rakan senegara, Khairul Idham Pawi yang masih belum pulih daripada kecederaan tangan bermula di GP San Marino minggu lalu berkata, dia mahu melalui proses pemulihan dengan cepat untuk beraksi di GP Thailand, 6 Oktober ini.

“Saya akan melakukan persediaan rapi untuk perlumbaan itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 8:08 PM