BERNARD (tengah) bergambar bersama tiga peninju remaja Muay Thai Perakketika menjalani latihan di Thailand berikutan situasi jerebu teruk melanda negara ini.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


TIGA peninju remaja Muay Thai Perak yang akan mewakili negara ke Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Turki, terpaksa dibawa berlatih di negara jiran Thailand berikutan situasi jerebu teruk melanda negara ini.

Ketiga-tiga peninju berusia 17 tahun iaitu Nur Amisha Azrilrizal, Mohamad Rifdean Masdor dan Ha Ze Xiang dibawa ke negara itu oleh Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin ke negara itu kelmarin.

Bernard berkata, beliau mengambil keputusan untuk membawa ketiga-tiga anak buahnya itu ke Thailand kerana bimbang latihan diadakan di negara ini akan menyebabkan berlakunya masalah kesihatan berikutan jerebu.

Katanya, tempoh masa yang semakin dekat untuk ke Turki membuatkannya perlu menjaga tahap kesihatan ketiga-tiga anak buahnya itu sekaligus membolehkan mereka menampilkan persembahan terbaik.

“Saya bersama ketiga-tiga mereka sudah ke Thailand sebelum ini pada 13 September lalu untuk berlatih di sana dan pulang pada Isnin lalu disebabkan mereka juga akan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Namun bila hendak menjalani latihan di sini, cuaca jerebu teruk dibimbangi akan mengakibatkan masalah kesihatan menyebabkan saya mengambil keputusan membawa mereka ke Thailand semula dan akan pulang Isnin ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam kejohanan yang akan berlangsung bermula 28 September ini, Nur Amisha akan bertanding dalam kategori 51 kilogram (kg), Mohamad Rifdean (45kg) dan Xiang (60kg).

Ketika ditanya mengenai persediaan ketiga-tiga peninju dibimbingnya itu, Bernard berkata, persediaan rapi sudah dilakukan kerana mensasarkan untuk memperoleh kejayaan tertinggi di kejohanan itu nanti.

“Persediaan memang rapi saya susun sebab ini adalah kejohanan yang kami sasarkan dari awal, saya yakin mereka bertiga akan memberikan persembahan terbaik.

“Kalau tanya sasaran saya, sudah tentu saya sasarkan mereka membuat pencapaian yang paling tinggi yang mampu dilakukan sekaligus mengharumkan nama negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:09 PM