KAPTEN Melaka United, Mohd Shukor Adan. FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


KAPTEN pasukan Melaka United (MU) Mohd Shukor Adan menganggap Pahang bukan lawan mudah walaupun beraksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Baginya gelanggang sendiri bukan ukuran bagi menjamin kemenangan suku akhir pertama Piala Malaysia terbabit tambahan Pahang sebuah pasukan yang memiliki kekuatan seimbang dalam semua aspek.

Menurutnya, walaupun saingan amat getir dengan skuad Tok Gajah yang dilabel pasukan pilihan namun ia bukan penentu kemenangan mutlak buat pelawat.

“Dalam saingan suku akhir semuanya boleh berlaku. Malah bola sepak juga diukur menerusi siapa yang mampu menjaringkan gol dan bertahan dengan baik.

“Pasukan yang boleh menghasilkan jaringan dan kental bertahan mampu meraih kemenangan. Ia bukan ukuran di atas kertas semata-mata tetapi selepas persembahan 90 minit,”katanya.

Dia juga mengakui taktikal amat penting pada saingan peringkat terbabit dengan pemain perlu memfokuskan perencanaan jurulatih.

Shukor berkata, sebagai pemain mereka akan menterjemahkan taktikal yang disusun dalam memastikan kemenangan mampu diperolehi di laman sendiri.

Dalam masa sama dia mahu rakan sepasukan melupakan apa- apa gangguan peribadi yang dihadapi dalam memfokuskan pertemuan sengit terbabit.

Katanya, tumpuan 100 peratus dalam permainan mampu membuahkan hasil positif sekali gus memenuhi misi meraih kelebihan aksi di gelanggang sendiri.

Bekas kapten kebangsaan terbabit turut yakin sokongan peminat memberi suntikan motivasi kepada pemain untuk berdepan skuad pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:53 PM